SEKOLAH
CEMERLANG LUAR
BANDAR 2009
"Orang yang cemerlang melihat setiap halangan sebagai peluang untuk mengasah potensi, manakala orang yang tidak cemerlang menganggap setiap halangan sebagai alasan yang menyebabkan kemundurannya"

"Berusahalah dengan ikhlas tanpa memikirkan balasan semata-mata, kerana semakin tinggi keikhlasan di dalam diri, semakin tinggilah balasan baik yang akan diperolehi dalam keadaan sedar atau tidak"



Isnin, 30 November 2009

OOPPPSSSS.....GEMPAK..

Petikan dari akhbar Berita Harian, bertarikh 25 November 2009 (Rabu)

Sayangi Sekolah: Semangat membara
Oleh Nazri Abu Bakar
upen@bharian.com.my

SKSL turut mengutamakan kehijauan persekitaran bagi mewujudkan suasana belajar selesa dan ceria.

SKSL jadikan kejayaan pemangkin lebih cemerlang, capai status Sekolah Kluster

ANUGERAH Sekolah Cemerlang Luar Bandar 2009 diterima, baru-baru ini, tidak membuatkan warga Sekolah Kebangsaan Sri Laksamana (SKSL) Masjid Tanah, Melaka, cepat leka dan berpuas hati dengan pencapaian itu.

Sebaliknya, warga sekolah di bawah pimpinan Guru Besarnya, Hamzah Othman, menjadikan ia pendorong bagi meraih pengiktirafan lebih tinggi, iaitu sebagai Sekolah Kluster pada masa depan.

Anugerah itu dijadikan pemangkin bagi meningkatkan pencapaian semua aspek, khususnya proses pembelajaran dan menambah baik keperluan warga sekolah itu, terutama 892 murid Tahun Satu hingga Enam, prasekolah dan kelas pendidikan khas.

Hamzah ketika ditemui baru-baru ini berkata, warga sekolahnya bertekad mendapat status Sekolah Kluster walaupun terpaksa melalui pelbagai laluan sukar bagi memenuhi kriteria penilaian untuk mendapatkan status itu.

Bagaimanapun, beliau yakin kesukaran itu bukan halangan besar mencapai sasaran kerana menyifatkan warga sekolahnya terutama guru sentiasa memberi komitmen tinggi, jauh sekali menganggapkan ia sebagai bebanan.
GURU SKSL, Azlina Mohd Amin (kanan) tetap memberi bimbingan kepada murid walaupun selepas tamat sesi persekolahan.

"Saya yakin menerusi gabungan mantap pendidik, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, masyarakat dan murid sekolah ini sendiri, bakal menjadi batu loncatan kejayaan SKSL memperoleh status berkenaan kelak.

"Tambahan pula ia dibantu pencapaian cemerlang sekolah ini dalam audit kewangan apabila tiga tahun berturut-turut tanpa teguran, selain pelbagai kejayaan akademik dan kokurikulum," katanya.

Hamzah berkata, usaha berterusan akan dilakukan bagi memenuhi visi sekolah gemilang daerah dan misi memberi pendidikan berkualiti menerusi pengurusan cekap.

Walaupun dikategorikan luar bandar, seramai 13 murid sekolah itu memperoleh 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.

Pencapaian mata pelajaran juga membanggakan, contohnya Bahasa Melayu Penulisan 97.7 peratus, Bahasa Melayu Pemahaman (99.2 peratus), Bahasa Inggeris (82.9 peratus, Matematik (92.2 peratus) dan Sains (94.6 peratus).

Tahun lalu juga, kelas pemulihan khas sekolah itu diumumkan cemerlang, manakala dua muridnya mewakili negeri ke peringkat kebangsaan dalam tilawah al-Quran.

Disamping itu, pasukan bola jaring sekolah itu muncul juara kawasan Masjid Tanah dengan empat pemain terpilih mewakili negeri.

Beberapa murid lain pula turut terpilih mewakili negeri ke peringkat kebangsaan dalam permainan bola jaring, hoki dan bola baling.

Dalam pada itu, seorang bapa, Abd Karim Abd Rahman, 63, berkata SKSL terkenal di Masjid Tanah hingga menjadi rebutan ibu bapa menghantar anak mereka belajar di sekolah itu.

Seorang murid sekolah itu, Nurul Syakirah Roslan, 11, berkata selain situasi pembelajaran menarik dan mempunyai pelbagai kemudahan, komitmen tinggi di kalangan guru menjadi sekolah itu berjaya.

Katanya, pelbagai program dijalankan guru dalam usaha memastikan anak didik mereka berjaya terutama dalam peperiksaan, antaranya seminar, kem motivasi dan kelas tambahan

"Saya bangga menjadi warga sekolah ini dan berharap akan turut mengharumkan SKSL hingga ke peringkat antarabangsa," katanya.




http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Pendidikan/20091125083

Tiada ulasan:

Catat Ulasan